Saturday, April 08, 2006

Tempahan Online

Kuala Lumpur, 7 Disember 2005

Jam 10.00 a.m.

Laman web Airasia dilawati semula. Berita mengenai promosi ini telah tersebar luas di dada-dada akhbar utama. Disebabkan itu, capaian ke laman web tersebut menjadi begitu teruk sehingga sukar untuk melakukan sebarang tempahan. Awareness sebegini sememangnya diharapkan oleh AirAsia.

Cubaan pertama memaksa aku menunggu beberapa minit untuk melihat senarai penerbangan yang ada. Bagaimanapun, selepas penat menunggu aku disajikan dengan error message. Begitu juga dengan cubaan kedua, ketiga dan keempat. Aku membuat keputusan untuk menunggu sebentar sehingga ribut ini reda.

Setelah lebih kurang satu jam aku mencuba kembali. Nasibku kini menjadi lebih baik. Aku sudah boleh melihat senarai tiket pada sesuatu tarikh. Ada pelbagai jenis tiket yang ditawarkan. Daripada senarai tiket tersebut, aku memilih tiket percuma iaitu yang bernilai 0.00 MYR. Setelah berpuas hati dengan pemilihan tiket, aku menekan butang "Continue". Pelawat disajikan dengan notis berikut:

Tarikh Sesuai

Kuala Lumpur, 7 Disember 2005

Mungkin ada hikmahnya aku tertidur semalam. Salah satu daripadaya ialah tarikh yang sesuai belum lagi ditentukan. Sekiranya tersalah pilih tarikh, aku mungkin tidak menikmati percutianku dengan sepenuhnya. Pencarian tarikh yang sesuai ke pulau Bali dimulakan pada waktu pagi. Ada banyak tarikh yang boleh dipilih dari 7 Februari 2006 sehingga 10 Oktober 2006 sempena promosi AirAsia. 246 hari semuanya. Ah gila sekiranya aku ingin memilih satu persatu. Pencarian terpaksa dikhususkan ke beberapa tarikh yang sesuai.

URL: http://www.google.com
Kata Kunci: "Best Time to Visit Bali"

Setelah beberapa maklumat diperolehi, dikumpul dan dianalisa berikut adalah rumusan yang dibuat.

Dari segi cuaca, waktu yang terbaik untuk melawat pulau tersebut ialah pada bulan April sehingga Oktober. Ketika ini cuaca di Bali adalah kering, sejuk dan tidak berhujan. Manakala bulan November sehingga Mac pula akan menyaksikan cuaca yang lembab , panas dan berhujan.

Dari segi pelancong pula, kebanyakan pelancong akan datang pada bulan Julai, Ogos dan awal September. Ini kerana rakyat Eropah sedang bercuti musim panas pada waktu ini. Penginapan akan menjadi agak sukar diperolehi dan harga-harga barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan akan menjadi lebih mahal. Manakala itu, para pelancong dari Indonesia dan Australia gemar melawat pulau Bali ketika cuti Krismas sehingga ke penghujung bulan Januari. Di luar waktu-waktu ini, dianggarkan jumlah pelancong yang berkunjung ke Bali adalah tidak ramai.

Sekarang tugasku menjadi sedikit mudah. Aku mahu melawat Bali antara bulan April dan Oktober. Bulan Julai, Ogos dan September pula ditapis daripada senaraiku. Oktober juga terpaksa dikeluarkan supaya aku boleh menjalankan ibadat puasa di Malaysia. Yang tinggal kini cuma bulan April, Mei dan Jun.

Setelah mengambil kira beberapa faktor seperti tugasan kerja yang diramalkan meningkat dari bulan ke bulan dan keinginanku untuk melancong dengan awal, bulan April telah dipilih sebagai tarikh yang sesuai untuk menjejakkan kakiku ke sana.

Thursday, April 06, 2006

Segalanya Bermula Di Sini

Kuala Lumpur, 6 Disember 2005

"Kau tahu tak AirAsia nak bagi tiket penerbangan percuma?", tanya kawan aku.

"Tidak, ke mana?", aku menjawab singkat soalan tersebut.

"Semua tempat. Tempah secara online malam ini pukul 12.00 am. Siapa cepat dia dapat.", ujarnya lagi.

Dan hatiku mula teruja.

Aku seorang pencinta laut, pantai dan pulau. Bagiku laut merupakan keindahan suci yang menenangkan jiwa. Begitu juga suasana di tepian pantai. Sejak kecil aku tidak pernah lupa akan keindahan pasir-pasir putih yang bersinar di bawah terik sang suria dan nyaman bayu laut yang bertiup sepi membawa seribu nikmat. Pulau pula bagiku adalah lokasi idaman hakiki yang di kelilingi keindahan lautan biru yang agung.

Dan kini aku tekad. Aku akan ke sebuah pulau indah menaiki pesawat AirAsia. Esok tepat jam 12.00 am, AirAsia akan membuka tempahan untuk tempat duduk percumanya sebanyak 2,000,000 ke seluruh destinasi. Ya, dua juta tempat duduk. Lebih daripada cukup untuk membawa semua warga Kuala Lumpur terbang daripada kesesakan kota.

Jam 11.55 pm.

Lokasi: www.airasia.com

Hati berdegup-degup menunggu detik tibanya jam 12.00 am. Kekunci F5 ditekan berpuluh kali. Pastikan binari 0 dan 1 yang terkini diperolehi.

Menguap. Mula mengantuk.

.....

Penggera telefon bimbit berbunyi. Jam 6.45 am.

Nafas di tarik dalam sambil berdoa mereka juga tertidur seperti aku.